~~“Walaupun Puyuh Mencuri Sayap Helang, DiaTetap tak Bisa Terbang”~~

Waktu Solat

Seri Iskandar, Parit, Beruas, Kg Gajah
[ e-Solat]
 
 Imsak
5:41
 
 Subuh
5:51
 
 Syuruk
7:04
 
Zohor
13:13
 
Asar
16:18
 
Maghrib
19:15
 
Isyak
20:24

Monday, May 23, 2011

ABIM Pencetus Kebangkitan Umah - Satu Sejarah Negara Ramai Orang Muda Tidak Tahu

PERTEMBUNGAN dan tarik- menarik antara fahaman nasionalisme dengan sosialisme, pada akhir tahun 60-an dan awal tahun 70-an, begitu hebat terjadi di mana-mana, tidak hanya di Malaysia, bahkan juga di negara-negara Arab dan di kebanyakan negara-negara umat Islam pada amnya. Sementara umat sedang mencari-cari, dan banyak yang terpukau dan terngiur dengan fahaman ini. 

Islam sebagai addin, ajaran universal belum nampak muncul dengan nyata, beberapa puluhan tahun setelah merdeka, lontaran penjajah masih membekas dalam diri sebahagian pemimpin negara yang sudah merdeka ataupun sebahagian rakyat, bahawa Islam itu hanyalah agama di masjid dan surau, berkaitan dengan nikah dan hukum faraid, tiada hubungan dengan kehidupan yang luas dengan segala aspeknya.


Islam masa itu ditampilkan dengan begitu sempit, Islam tiada hubungan dengan masyarakat, negara, politik, ekonomi perundangan, pendidikan dan sebagainya. Pada masa yang sama keterbelakangan rakyat dari segi ilmu dan pendidikan, menjadikan mereka pasrah dengan apa yang disajikan, baik oleh media mahupun pihak berkuasa. Sekularisasi kehidupan disedari atau tidak, sedang menggurita pada masa itu. Memang sudah ada jabatan agama, dan pertubuhan-pertubuhan serta NGO Islam yang lain, tetapi gerakannya masih sempit dan terbatas, belum sampai mengetengahkan Islam yang syumul dan universal itu.


Kalangan muda terutama mahasiswa telah menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), membuat program keilmuan mengetengahkan idea dan hujah untuk membicarakan Islam dengan segala aspek dan keluasan ajarannya, dan sudah tentu ahli PKPIM juga ingin menghayati dan mengamalkannya seberapa yang boleh, tetapi persekitaran yang rosak dan bobrok masa itu, menjadikan gerakan dakwah pelajar ini menghadapi tribulasi dan cabaran, dan gerak langkahnya adakalanya terbawa-bawa oleh cara-cara gerakan yang belum Islami, namun benih dan tanaman sudah mula ditebar dan ditanam.

Kemuncaknya adalah berdirinya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 6 Ogos tahun 1971, pelopornya adalah Anwar Ibrahim (kini Dato’ Sri), Ustaz Razali Nawawi, Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Siddiq Fadzil, Dato’ Fauzi Abdul Rahman, Sanusi Junid (kini Tan Sri), Ustaz Nakhaie Ahmad dan ramai lagi. Walaupun pertubuhan ini agak lama baru disahkan pendaftarannya oleh Pejabat Pendaftaran, gerakan itu sudah bermula dengan halaqah-usrah dan tamrinnya, dan taddabur al-Quran serta membicarakan buku-buku baik dari Mesir/Timur Tengah, Pakistan, Indonesia. ABIM mula mengasah ahlinya dengan menampilkan hujah dan idea, dalam mendepani masyarakat, bagaimana membantu penyelesaiannya dengan gerakan dakwah dari bandar ke kampung serta kemana sahaja jika ruang dan peluang itu ada.


Nama Anwar sinonim dengan kebangkitan itu, yang sudah mula bergerak dan nampak, ABIM berhadapan bukan hanya menggiatkan dakwah; ceramah dan mengimarahkan masjid dan surau, tetapi juga membincangkan masalah kemiskinan, ketidakadilan dan persoalan pendidikan umat yang masih terkebelakang. Matlamat ABIM adalah bagaimana menjalankan agama Ilahi ini, dan ingin menghayati sunnah Nabi, namun sebagai pengakuan Razali Nawawi, hasrat hakiki ABIM tidak difahami oleh banyak pihak terutama, pihak kerajaan.

Sebagaimana kata Dr Siddiq Fadzil, mantan Presiden ABIM ketiga, sejarah perjuangan ABIM adalah sejarah umat, kerana pada masa berdirinya ABIM, "kita telah mampu mencatat sejarah sangat penting, dan segala gerakan-tindakan dan perancangan kita bukan main-main (sangat serius) dan hari ini dirasakan hasilnya juga tidak main-main." Bukti sejarah menunjukkan gerakan Islah yang dipelopori oleh Syeikh Al Hadi, namun gerakan dan hasil yang nyata ini tercipta setelah berdirinya ABIM sebagai pelopor kebangkitan umat pada masa itu, kita harus mengakui katanya kemerdekaan Malaysia tidak merubah landskap pemikiran seperti tidak ada apa-apa.

Kemerdekaan tidak mencetuskan idea ke-Islaman, barulah gerakan pelajar tahun 1967 kembali digegarkan bagaimana memaknai kembali pemahaman Islam orang Melayu, atau Re-Islamization, meng-Islamkan kembali orang Melayu. Di mana pada masa itu sebagai contoh seperti kata Ustaz Razali, Muslimah pakai mini telekung dianggap benda yang aneh dan ganjil, dan dengan berbagai idea dan gerakan yang dibuat oleh ABIM, menjadikan ABIM lebih matang dan lebih cepat dewasa, apalagi "tragedi" 1982 dengan masuknya Anwar Ibrahim ke dalam Umno, antara lain kerana rayuan beberapa cendekiawan Islam antarabangsa.

Walaupun Sabtu, 14 Mei yang lalu dalam pengkisahan 40 tahun ABIM itu di Unisel Shah Alam, Anwar Ibrahim mengakui dia tidak sepenuhnya yakin dengan tawaran kelompok nasionalis Umno, dengan pandangan dan sinisnya mereka terhadap Islam dan gerakan Islam selama ini, dan inilah kehebatan ‘feeling’ Ustaz Fadzil, yang dengan terpaksa membiarkan Anwar masuk Umno, tetapi dia sudah memberitahu hati-hati nanti mereka akan mengkhianati Anwar, kalimat ini diulangi lagi oleh Ustaz Fadzil apabila Anwar menang menjadi naib presiden Umno tahun 1987, nanti akan dikhianati.

Kemuncaknya awal 1998, sebelum Anwar dipecat pada 2 September 1998, Ustaz Fadzil sudah memberitahu Anwar pengkhianatan itu kini sudah bermula dan mulai nampak. Hati nurani Ustaz Fadzil yang mengganggap Anwar bagaikan adiknya, juga sama dengan Almarhum Dr M Natsir, Anwar masuk Umno tahun 1982 tidak puas hati, dengan jawapan Anwar beliau kirim Endang Saifuddin Anshari ke sini, mendengar hujah Anwar. Bahkan apabila Anwar dilantik menjadi menteri kewangan Pak Natsir mengirim surat "hati-hati ini amanah, tetapi juga perangkap dan tidak mustahil ini awal gerak mereka untuk menjatuhkan anakanda Anwar."

Menoleh ke belakang tahun 1978 Pak Natsir datang ke Malaysia, beliau menilai masa itu "PAS lesu darah" perlu disuntik darah baru dan segar, itulah sebabnya kemudian pimpinan dan aktivis ABIM beramai-ramai masuk PAS, walaupun ada antaranya ada yang sudah ahli PAS, sebutlah Ustaz Fadzil, Ustaz Hadi, Ustaz Abu Bakar Chik, Muhammad Sabu, Ustaz Azizan, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan ramai lagi, kemudian diikuti oleh yang lebih muda seperti Husam Musa, Ustaz Muhammad Mustafa, apalagi setelah reformasi tahun 1998, yang sebahagiannya juga ada yang masuk ke dalam KeADILan, dan sudah tentu ramai juga yang masih berada dalam Umno.

Walaupun Anwar mengakui dia tidak menyesali masuk kerajaan, kerana banyak pengalaman yang didapat, dan tahu bagaimana buruk dan rosaknya sistem yang ada di dalam. Bagi Siddiq Fadzil peristiwa tahun 1982 ABIM terpaksa melalui jalan getir dan pahit, mendepani berbagai kritikan dan pukulan dari berbagai pihak, dan ABIM berusaha untuk terus tampil sebagai gerakan non-partisan, memang diakui jalan itu tidak mudah, dan setuju atau tidak setuju era Mahathir-Anwar, ABIM cuba membantu program yang positif untuk kemaslahatan umat, dan ini dilakukan dengan kesedaran dan keikhlasan.

Kata Siddiq Fadzil kita tidak meminta apa-apa apalagi ghanimah, sebab itulah "apabila kita tidak dapat apa-apa dan tidak diberi apa, kita tidak marah apalagi mengamuk. Masa itu kita cuba realistik tetapi tetap dengan prinsip." Seperti berlaku sekarang ini mereka yang mengamuk dan menikam Anwar Ibrahim, adalah mereka yang pernah ditolong dan dibantu secara wajar oleh Anwar. Bagi Anwar berdirinya ABIM adalah mengembalikan umat ke akarnya dan identiti jati diri sebagai orang Islam, memantapkan kembali komitmen kita menjadikan Islam sebagai addin dan ‘way of life’, dan salah satu program ABIM yang orang belum lakukan pada masa itu adalah membicarakan bagaimana konsep Islam dalam menangani masyarakat majmuk.
 
Apa yang terjadi hari ini, pukulan dan hentaman bertubi-tubi dari segala sudut dan aspek terhadap Anwar, siang dan malam dan tiada henti, entah bagaimana perasaan dan hati perut mereka yang melakukan ini sebagai Muslim, tidakkah ingat dengan dosa pahala syurga dan neraka, melakukan fitnah dan mengaibkan orang hampir 24 jam siang dan malam. Bagi ABIM dan keluarga besar ABIM, yang dicabuli bukan hanya maruah Anwar dan keluarganya, tetapi ini pencabulan terhadap maruah keluarga besar ABIM dan umat Islam. Soal ini bukan lagi hanya sekadar tugas para ahli politik tetapi, ini sudah menjadi tanggungjawab bersama para ulama dan pendakwah dalam konteks menegakkan amar makruf nahi munkar.

Empat puluh tahun ABIM sudah bertapak dengan pelbagai program dan amal usahanya,memiliki Taski, sekolah rendah dan menengah serta mempunyai kolej Darl Al Hikmah, mempunyai hospital, pusat dakwah untuk saudara baru, koperasi belia Islam. ABIM juga mempunyai hubungan antarabangsa yang hebat, peringkat antarabangsa dengan WAMY, IIFSO, hubungan baik dengan gerakan Islam di merata tempat, termasuk Mesir, Turki dan Pakistan. Untuk regional jelas ABIM mempunyai yang mesra dengan gerakan dakwah di Indonesia, bukan hanya dengan Dewan Dakwah Islamiyah, tetapi juga Muhammadiyah, NU, ICMI, Majlis Ulama Indonesia, apalagi setelah adanya PKPIM, ABIM yang kini dipimpin oleh Dr Muhammad Razak Idris, juga ada Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) yang presidennya adalah Dr Siddiq Fadzil.


Kunci kekuatan sempena 40 tahun ABIM ini adalah tazkirah daripada veteran dan mantan presiden ABIM Prof Dr Razali Nawawi, "perbetulkan niat hanya kerana Allah.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails