Imej belia dan generasi muda selalunya sinonim dengan persepsi yang negatif di mata masyarakat. Ini terbukti dengan penglibatan mereka dalam gejala dadah, gejala sosial dan jenayah. Tidak sedikit yang menzahirkan kegusaran terhadap masa depan agama, bangsa dan negara di tangan generasi muda hari ini. Lumrah kehidupan belia yang dibesarkan dalam dunia tanpa sempadan dan langit terbuka juga menjanjikan seribu satu cabaran dan ujian yang getir terhadap jatidiri generasi muda.
Para belia juga perlu mengelakkan diri dari terjebak dengan sebarang aktiviti yang tidak bermanfaat dan membawa kesan yang negatif. Amalan gaya hidup yang berpaksikan kepada unsur ketuhanan dan sifat kesukarelaan dalam masyarakat sangat membantu membina dan mengukuhkan jatidiri belia itu sendiri. Sikap ingin mencuba dan semangat ingin tahu yang tinggi janganlah disalurkan untuk mencuba dan mempelajari aktiviti yang boleh membawa kepada penyesalan seperti dadah, pergaulan seks bebas, perjudian dan perlakuan jenayah.
Keupayaan dan potensi diri belia perlu digilap dan dipertingkatkan agar mampu menjadi agen penyumbang, agen perubah, serta pemangkin kemajuan dan bukannya beban kepada negara. Golongan belia mempunyai semangat, tenaga, masa dan kemampuan yang tinggi untuk merencana agenda pembangunan masyarakat dan negara. Aset belia ini perlu disalurkan melalui sarana yang tepat untuk memperrleh natijah yang maksimum. Salurkanlah tenaga muda anda untuk masyarakat dengan melibatkan diri di dalam persatuan-persatuan belia, aktiviti kesukarelaan, serta agenda pembangunan belia negara.
Sempena sambutan hari Belia Negara 2010 di PICC semalam, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sebesar 10 juta ringgit untuk pembangunan dan aktiviti belia. Satu peruntukan yang agak besar untuk memastikan agenda pembangunan belia negara terus berjalan seiring dengan kehendak semasa.. Moga dengan peruntukan baru serta sambutan hari belia ini mampu membuka mata golongan belia negara seterusnya meningkatkan azam dan iltizam untuk meningkatkan keupayaan dan potensi diri demi menjadi belia yang benar benar bersedia menerima gelaran "Harapan Bangsa dan Negara"
0 komen:
Post a Comment