~~“Walaupun Puyuh Mencuri Sayap Helang, DiaTetap tak Bisa Terbang”~~

Waktu Solat

Seri Iskandar, Parit, Beruas, Kg Gajah
[ e-Solat]
 
 Imsak
5:41
 
 Subuh
5:51
 
 Syuruk
7:04
 
Zohor
13:13
 
Asar
16:18
 
Maghrib
19:15
 
Isyak
20:24

Saturday, December 20, 2008

Cabul Sungguh Mulutmu, Tuan!!!

Bersiar siar di alam maya sememangnya menyeronokkan daan menjanjikan pelbagai maklumat... pun begitu kita kena sensitif untuk menilai bahawa setiap maklumat yang kita perolehi adalah sahih semata mata sahih..
Persiaranku kali ini menemukanku dengan artikel yang sememangnya sedang panas diperkatakan sekarang ini. PPSMI. tapi ini bukan berkenaan PPSMI itu sendiri tapi insan insan disebalik PPSMI...
inilah coretannya...

Prof Abdullah Dalam Persidangan Meja Bulat PPSMI di Putrajaya kelmarin, berkali-kali isu Melayu luar bandar yang kuat terpukul oleh dasar PPSMI ini, ditimbulkan oleh mereka yang prihatin.

Lalu seorang pegawai Melayu Kementerian Pelajaran Malaysia berkata dengan menghina, lebih kurang begini “Orang luar bandar ini dalam bahasa Ingeriskah, Melayukah serupa sahaja!”

Maksudnya ‘jangan diambil kira Melayu di luar bandar ini, mereka itu tidak penting. Biarkan mereka gagal.’

Ada tiga kekhilapan Tuan.

Pertama, Melayu luar bandar inilah yang setia mengundi parti yang memerintah, lalu kita menganggap mereka tidak dikira dalam menentukan nasib mereka.

Kedua, mereka ada hak yang sama dengan kita yang di bandar, mereka pun warga negara.

Ketiga, tepuk dada tanya selera, dari mana usul asalmu Tuan? Tidakkah Tuan juga datang dari darat?

Saya fikir pegawai ini perlu diberi peluang untuk berkhidmat di bawah bendera kawasan hulu... selain Ulu Kelang, Ulu Kinta,,, ataupun hulu hulu yang lain... biarlah hulu sebenar benar hulu....Moga-moga sedarlah beliau akan tugas yang berat dipikul memandaikan bangsa.

Friday, December 12, 2008

Lambaian Irau Menggamit Semula

Jam menunjukkan pukul 8.35 pagi ketika aku memutuskan untuk menghantar kereta klasik kesayanganku ke bengkel. Sememangnya aku sudah atur perancanganku hari ini memandangkan trip ke Gunung Bubu terpaksa dibatalkan kerana tidak mendapat kelulusan dari pihak berwajib. Setelah berbincang dengan doktor keretaku, aku terpaksa menerima hakikat bahawa hari ini aku terpaksa mengeluarkan wang yang agak banyak untuk kereta klasik kesayangan ku ini.

Dalam kebosanan menunggu keretaku siap tiba tiba handset buruk ku berdering. “apa lagi yang dia mahu”.. detik hatiku ketika melihat sebuah nama tertera di skrin.
“nko dok mana ni?” sapanya.
“aku tengah servis keta ni. Apa hal nya?” Tanya ku.
“Lama lagi ker? Ok, kita jadi p Irau” teriaknya..
Aku terkedu sebentar sebelum aku mengiyakan dengan nada lemah.

Aku seolah tak percaya. Biar betul dia ni. Kepala ku ligat berpusing. Barang yang aku packing kelmarin masih belum aku usik lagi. Masih rapi dalam beg galasku. Cuma aku tak tahu siapa yang akan pergi trip kali ini. Penghujung penantianku akhirnya tiba setengah jam kemudian. Setelah menyelesaikan urusan bayaran, aku terus memecut laju balik ke rumah.


Ramai yang sudah menunggu ketika aku sampai di tempat yang dijanjikan. Cuma ketua delegasi sahaja yang belum nampak kelibatnya. Sepuluh minit kemudian dia datang dengan 2 orang student master dari Vietnam. Kami berkenalan ala kadar sahaja…banyak lagi masa fikirku. Setelah berbincang ringkas dan memeriksa barang keperluan, kami ber-7 memulakan perjalanan tepat pukul 12.30 PM. Dengan menaiki dua buah kereta kami menuju destinasi pertama iaitu Tesco Ipoh.

Ime sempat berbisik kepada ku semasa menaiki skalator Tesco. “ depa ni semua first timer, kuat makan, so trip kita kali ni makan sedap”. “ikut lah. Nko pilih la menu nanti aku selesaikan” balas ku. Dalam waktu yng singkat sahaja troli dah pun penuh dengan barangan makanan. “ini betul betul nak makan besar” detikku dalam hati.

Kami meninggalkan Tesco Ipoh dan menuju ke puncak Brincang. Perjalanan mengambil masa dalam 90 minit. Kami singgah sebentar di kampong Raja untuk menbasuh ayam dan udang, selain mencari tambahan bekalan air bersih untuk keperluan di puncak nanti. Setelah puas menempuh perjalanan dalam kabus tebal akhirnya kami sampai di Puncak Brinchang. Jam di tanganku menunjukkan pukul 07.13PM. Kabus tebal dan angin agak kencang menyambut ketibaan kami. Suhu ketika itu adalah 16 darjah C.

Aku dan Ime melihat keadaan sekeliling untuk tempat berkemah. Kami berkemah di bahagian atas memandangkan camp site sebelah bawah telah dipenuhi dengan kemah kemah. Kami tak tahu siapa mereka. Dia memberi arahan mengagihkan tugasan untuk dibuat. Tanpa diperintah aku dan assistantku mula mengeluarkan barangan makanan untuk di masak dan yang lainnya mula sibuk memasang kemah. Sebuah kemah tertutup dan sebuah kemah terbuka. Malam ni aku masak sambal udang, rendang ayam dan ayam pedas. Minuman for sure kopi O panas.

Atas gunung kopi O memang favorite. Teringat aku pengalaman ketika mendaki Trans Titiwangsa yang lepas. Ketika itu kami berada di puncak Gunung Korbu, sambil menikmati pemandangan petang, kami berbual kosong sambil menikmati Kopi O panas. Tak lama kemudian satu kumpulan pendaki sampai ke puncak. Dua orang potter dan sepasang suami isteri yang berpangkat Tan Sri. Mereka berkemah di sebelah kami. Malam semakin dingin. Angin yang nakal telah membawa terbang bersama aroma kopi O ke kemah tan sri. Tak lama kemudian salah seorang dari potter datang sambil membawa satu paket Milo 3 in 1 (isi 20 sacket). “Tan Sri minta tukar dengan kopi” katanya. Kami saling berpandangan. Akhirnya kami habaq dengan baik yang kami tak mahu menukarnya. Memandangkan perjalanan kami masih jauh lagi dan bekalan kami memang cukup-cukup sahaja. Minta maaf Tan Sri… ini gunung la.. bukannya Kuala Lumpur….

Kabus tebal sentiasa menyelimuti kami. Kami berbual kosong bercerita pengalaman masing masing. Sekali sekala dihiasi dengan gelak ketawa. Seronok rasanya. Hilang seketika segala jenis tekanan. Tekanan kerja, tekanan pelajaran, eksperimen tak siap lagi dan banyak perkara yang membebankan kepala.

Malam merayap terlalu perlahan. Suasana yang terlalu sejuk membuatkan perut kami cepat benar terasa lapar. Dalam kesejukan malam kugagahi jugak untuk menggoreng fries… menambahkan lagi semangat untuk bersembang. Malam ni tak boleh berhenti disini saja… banyak lagi perkara yang harus di bualkan. Dalam kesamaran kabus malam kami melihat sekumpulan wanita datang menuju ke arah kami. “Siapakah gerangan mereka itu” fakir ku.

Tujuh orang kesemuanya. Nampak keletihan dan seorang daripadanya hampir pengsan. “di mana ada air bang?” Tanya salah seorang dari mereka. Chef assistant menunjukkan water point di sebelah sana. Kami sempat bersembang dengan mereka ketika mereka saling menunggu kawan yang lain membersihkan diri. Rupanya mereka baru turun dari Gunung Irau. Aku melihat jam yang ketika itu menunjukkan pukul 10.13 malam. Kami menggelengkan kepala. Tak dapat kubayangkan bagaimana susahnya menempuhi track Irau pada waktu malam. Memandangkan track ini sentiasa basah dan becak.

Ime sempat menghulurkan secawan kopi O panas kepada kepada seorang dari mereka yang nampak terlalu lemah dan hampir tumbang. Setelah menjamu mereka dengan minuman panas, mereka minta izin untuk meredar kembali ke kemah. Baru kami faham, kumpulan yang berkemah di base camp rupanya pelajar dari UPSI. Seramai 80 orang pelajar. Banyak perkara yang bermain di kepalaku.. macam mana perancangan mereka sehingga terpaksa turun pada waktu malam?? Terfikir oleh ku laluan yang akan kami lalui esok pagi. Pasti macam sawah padi yang baru dibajak. Lunyai dan luncai hehehhe Bayangkanlah 80 pasang (belum kira fasilitator, boleh mencecah 100) kaki manusia melalui jalan yang sama pergi dan balik.. dalam keadaan hujan renyai renyai.. aku dah dapat agak apa yang harus aku buat esok… Allahu akbar.

Setelah puas bercerita, kami pun mula menyusun tempat untuk tidur. Setelah dicongak akhirnya aku terpaksa tidur dengan 2 orang lagi student dari Vietnam dalam kemah tertutup memandangkan kemah terbuka dah pun penuh dengan 4 orang yang lain yang lebih bersaiz.. tak lama kemudian suasana semakin sunyi sepi yang kedengaran hanyalah tiupan angin yang membawa aura sejuk sepanjang malam….

Keesokan paginya..... to be continue...


Sunday, December 07, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Adha


Selamat Hari Raya Aidil Adha dan selamat menjalankan ibadah korban kepada semua pengunjung blog ini yang beragama islam dan selamat bercuti kepada yang lain.

Saturday, December 06, 2008

Berehat Seketika Mencari Spirit Zulhijjah

Lazimnya, sesuatu yang melakukan perjalanan panjang, pasti memerlukan perhentian untuk berhenti seketika. Itulah lumrah yang bernama makhluk, kerana ia memiliki kapasiti maksima yang perlu dijaga. Had-had tertentu perlu dipatuhi agar usia jangka hayatnya dapat terpelihara. Laksana sebuah enjin, setelah bekerja terus-menerus sehingga mencapai jumlah jam atau kilometer tertentu maka ia perlu direhatkan, diservis serta diganti komponen-komponennya yang rusak. Sekiranya dibiarkan enjin itu bekerja tanpa henti maka sudah pasti enjin itu akan cepat rusak keseluruhannya.
Demikianlah juga keadaan jiwa manusia. Setelah melakukan perjalanan tertentu, ia perlu berhenti seketika untuk bermusahabah, bertaubat, dan mengumpulkan serpihan semangat untuk perjalanan berikutnya. Dengan pola yang demikian, maka jiwa kita mampu menempuh perjalanan yang lebih panjang dengan penuh keselesaan dan keseronokan untuk mencapai tujuan yang diimpikan.
Segala aktiviti manusia, baik aktiviti politik, ekonomi, sosial, budaya adalah aktiviti besar jika disulami dengan misi dakwah menyebarkan rahmatan lil alamiin. Justeru, janji-janji manis melenakan yang mengiringi perjalanan itu perlu kita ketepikan. Bahkan sampai kepada peringkat tertentu, kita perlu berperang melawan kejatuhan serta keputus-asaan, untuk mengelakkan perjalanan suci murni ini menjadi terhenti sebelum mampu mengecapi cita-cita murni. Oleh itu, kita memerlukan jiwa-jiwa yang kuat agar perjalanan menjadi lancar dan setiap halangan dan rintangan mampu kita depani dengan penuh kejayaan
Allah SWT melalui sifat Rahman dan RahimNya, mengetahui tabiat jiwa menempuhi perjalanan panjang yang penuh dinamika tersebut, sehingga Dia menurunkan instrumen-instrumen yang mampu mengembalikan jiwa pada kestabilannya. Solat fardhu lima waktu secara harian, solat jumaat secara mingguan, zakat dan puasa (Ramadhan) secara tahunan, dan ibadah haji sekali seumur hidup (jika mampu), adalah sebagian dari bentuk-bentuk instrumen yang mampu menjaga kestabilan jiwa dari masa ke masa.
Bulan zulhijjah datang menyapa lagi. Ini menandakan akan berakhirnya kalendar 1429H dan akan bermulanya 1430H. Sangat cepat berlalu rasanya. Bulan zulhijjah merupakan bentuk lain antara instrumen penguat jiwa. Banyak hikmah yang dapat kita petik dari pemuliaan bulan Zulhijjah ini, terutama pada sepuluh hari pertamanya. Zulhijjah merupakan terminal pemulihan ruhiah bagi jiwa kita yang telah mengalami kelesuan setelah menempuh perjalanan cukup panjang (dua bulan, Syawal dan Zulqaidah). Inilah one stop center yang tepat untuk bermuhasabah diri dan menaikkan spirit mujahadah khususnya bagi yang mengalami kelunturan semangat untuk menempuh perjalanan seterusnya yang masih panjang.
Laksana sebuah kafilah, pada ketika ini kita sedang bermusafir menaiki kenderaan yang berbeza-beza. Ada kenderaan politik, kenderaan ekonomi, kenderaan sosial, kenderaan profesional, serta kenderaan dakwah. Masing-masing memberikan komitmen ke arah satu tujuan. Namun dalam perjalanan, pelbagai halangan dan rintangan serta permasalahan teknik sentiasa menemani perjalanan yang penuh variatif ini,mempunyai liku-likunya yang tersendiri, serta perlukan kaedah yang pelbagai. Tidak mustahil dalam mendepani setiap permasalahan, masing masing membuat keputusan dan ijtihad tersendiri. Namun ada juga yang terpaksa berhenti kerana tidak mampu untuk membuat keputusan jalan mana yang perlu ditempuhi seterusnya.
Perbezaan kenderaan, tidak seharusnya menjadi batu penghalang ke arah mencapai tujuan asalnya. Ada kenderaan yang laju ke hadapan meninggalkan yang lain, namun ada juga yang terpaksa menerima hakikat bahawa kenderaannya jenis yang sudah uzur dan tidak mampu menandingi kenderaan orang lain. Ada juga yang terpaksa berhenti menukar tayar yang pecah, over heating, dan bermacam macam lagi kerenah lumrahnya satu perjalanan. Tak kurang juga yang mengharungi perjalanan dengan lancar tanpa sebarang kerusakan. Yang pasti perjalanan perlu diteruskan sehingga ke garisan penamat walau apa jua yang berlaku
Begitulah keadaan umat islam masa kini, ibarat sebuah kafilah. Malangnya, suasana semasa dipenuhi dengan prasangka buruk, penuh kecurigaan sehingga membantutkan perjalanan. Umat islam dilihat bukannya bergerak kehadapan namun hanya bergerak di tempatnya sahaja. Sekiranya suasana semasa ini berterusan dan tidak disulami dengan sikap positif, maka selamanya keadaan ini tidak akan berubah. Umat islam memerlukan satu turning point untuk mewujudkan persatuan, kesepaduan dan kerjasama erat tanpa mengira mazhab dan fahaman politik untuk berganding bahu bersama sama menuju ke hadapan.
Untuk kita yang sudah terkeluar dari jalan yang sebenar, maka bermuhasabah dan bertaubat adalah langkah bijak untuk mengurangi sifat takabbur dalam diri. Sedangkan prasangka buruk perlu kita kikis dari dalam diri terhadap sesama muslim. Syaikh Hasan Al-Bana sering menegaskan kata hikmah, ”Carilah keuzuran hingga tujuh puluh keuzuran untuk saudara Anda. Jika Anda tidak menemukan keuzuran, maka katakan, ‘Barangkali ia mempunyai keuzuran yang tidak aku ketahui’.
Alangkah indahnya jika prinsip dan kata hikmah ini kita aplikasikan dalam kehidupan persaudaraan kita. Sehingga aroma yang terlihat adalah saling menasihati dalam menegakan kesabaran dan kebenaran bukan pertengkaran, perpecahan, atau permusuhan.
Sepuluh hari pertama Zulhijjah adalah saat yang tepat untuk kembali merenung dan meningkatkan kuantiti dan kualiti ibadah kita kepada Allah SWT. Ibadah di sepuluh hari ini memiliki banyak keutamaan karena nilai tambahnya. Inilah medan untuk kita mengukuhkan kekuatan pribadi dan umat yang akhir-akhir ini semakin pudar mengikut peredaran zaman.
Marilah kita renungkan, mengapa umat islam hari ini sentiasa diselubungi dengan perpecahan dan perselisihan sedangkan seolah olah sangat susah untuk mewujudkan tali persaudaraan islam (Ukhuwah Islamiah) yang solid. Dan inilah kelemahan yang perlu kita baiki segera. Bermula dari zaman kerajaan-kerajaan islam, zaman penjajah Portugis, Inggeris, Jepun, sehingga masuknya zaman penjajah moden alaf baru oleh USA dan konco konconya, strategi yang mereka gunakan tidak pernah berubah. Bermula daripada politik devide et empire, sehingga bermulanya zaman globalisasi dan liberalisasi, semuanya menjurus ke arah merekacipta perpecahan dan melemahkan umat islam sarwa jagat.
Semoga kehadiran Zulhijjah akan meniup semangat berkorban, membawa kesedaran jiwa, menyedari kelemahan dan memperbaikinya, dosa dan prasangka buruk dapat ditinggalkan, kekuatan jiwa dapat diperkasakan. Pada kemuncaknya, pada setiap jiwa umat islam telah tertanam semangat rela berkorban, meneruskan misi dakwah rahmatan lil ‘alamin demi kemenangan dan kemegahan agama islam. Sesungguhnya tiada kemenangan tanpa adanya perjuangan, dan perjuangan memerlukan segunung pengorbanan.
Justeru, semangat Zulhijjah adalah semangat pengorbanan, maka setiap daripada kita dituntut untuk sentiasa sedia berkorban. Berkorban apa sahaja demi menegakkan kemuliaan islam.

Thursday, December 04, 2008

Membaca : Satu Keperluan!!

”Buku adalah teman bicara yang tidak mendahuluimu.
Ia teman bicara yang tidak memanggilmu ketika kamu bekerja.
Ia teman bicara yang tidak memaksamu bersolek ketika menghadapinya.
Ia teman hidup yang tidak menyanjungmu.
Ia kawan yang tidak membosankan.
Ia adalah penasihat yang tidak mencari-cari kesalahan.”

Begitulah.. tiada sedikitpun yang mampu saya nafikan daripada ayat ayat di atas. Sudah terbukti, buku merupakan sumber ilmu… membacanya menjadi jambatan ilmu.. buku, guru yang tidak pernah mengharapkan balasan mahupun imbuhan.

“Alam yang maha indah ini seumpama kitab yang terbentang luas di hadapan kita. Di dalamnya tertulis perjuangan hidup yang bakal ditempuhi oleh setiap manusia. Kita perlu membacanya, memahaminya dan menghayatinya. Ada yang bahagia namun sebaliknya terdapat juga yang sengsara. Bagi mereka yang bijaksana, semuanya itu akan dijadikan sebagai pelita dengan mengambil ikhtibar darinya”.

Pernah suatu ketika dahulu, seorang pensyarah bertanyakan kepada saya “Sudah berapa buku yang Anda baca hari ini?” seketika saya terkedu dan tidak mampu untuk menjawapnya. Saya yakin pertanyaan itu bukan sekadar pertanyaan kosong. Saya tafsirkan pertanyaan itu sebagai satu perintah. Saya ertikan sebagai satu galakkan agar saya tidak meremehkan aktiviti ringan tetapi penting kerana menjanjikan pelbagai ilmu pengetahuan iaitu membaca. Saya begitu yakin bahawa beradaptasi dengan persekitaran membaca tidak akan mendatangkan sebarang kerugian. Bahkan, pelbagai macam ilmu mampu kita perolehi tanpa perlu menghadiri kelas kelas formal, kuliah kuliah, syarahan mahupun tutorial. Yang lebih penting lagi ilmu yang kita perolehi mampu memberikan pertolongan kepada kita pada saat dan ketika kita memerlukannya apatah lagi ketika kita merasa malu dan segan untuk bertanya kepada orang lain.

Pada ketikanya ramai yang disibukkan dengan bergosip sana sini, membahas topik politik yang tak pernah berkesudahan, membicarakan keburukan dan kekurangan orang lain, dan tidak kurang juga yang hanya menghabiskan masa dengan memasang angan angan umpama Mat Jenin memasang impian. Justeru sekiranya masa yang dibazirkan itu dipergunakan untuk aktiviti membaca bahan bahan yang berbobot, maka tidak mustahil suatu hari nanti masa yang kita laburkan itu pasti akan memberikan pulangan. Menjadikan rutin membaca sebagai satu hiburan pastinya mampu meneutralkan suasana dan melupakan sejenak beban fikiran yang ada.

Membaca diibaratkan sebagai jambatan ilmu. Jambatan merupakan media yang menghubungkan. Membaca juga merupakan media komunikasi antara kita dan diri kita. Jika perut terasa lapar, kita penuhi keinginannya dengan suapan makanan, Kalau tubuh badan kita penat, kita penuhinya dengan merehatkannya. Namun, apabila hati kita beku, membaca adalah salah satu jalan keluar untuk mencairkan dan meneutralkan hati kita..

Justeru dalam Islam, membaca merupakan antara perkara utama yang harus dikuasai dan diamalkan oleh penganutnya. Ini sangat bersesuaian dengan wahyu pertama yang diturunkan kepada nabi junjungan kita SAW… “Bacalah (wahai Huhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah. Bacalah dan Tuhanmu yangMaha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.” (QS: Al-Alaq, 1-5).
Dari sini sudah sangat jelas betapa pentingnya budaya membaca (budaya ilmu) sehinggakan permulaan wahyu yang turun adalah perintah untuk membaca. Namun begitu, budaya ilmu yang suatu ketika dahulu sangat sebati pada zaman nabi, diikuti pada masa pemerintahan para khalifah, namun budaya itu tidak dapat diwarisi dan dikekalkan sehingga pada masa kini. Budaya ilmu seolah olah sangat asing dan sangat berat untuk diamalkan. Budaya membaca seolah olah menjadi satu amalan yang membebankan.

Setelah lebih satu abad lamanya bangsa melayu mengenali budaya membaca, ternyata masih terlalu lambat kemajuannya. Tradisi dan amalan membaca masih belum tertanam merata dalam kalangan masyarakat. Hanya individu tertentu yang boleh dibilang dengan jari jumlahnya yang mahu melaburkan sebahagian wangnya untuk mendapatkan sumber ilmu. Malah, terdapat beberapa individu kita yang merasa hairan apabila menyaksikan kawan-kawannya yang memiliki rak buku yang memenuhi rumahnya. “apakah kesemua buku-buku itu dibacanya?”. Satu persoalan yang datangnya daripada masyarakat yang kurang memahami budaya membaca.

Membaca belum menjadi satu keperluan hidup. Pada hakikatnya, untuk membina dan memupuk budaya membaca kita tidak memerlukan modal yang tinggi. Hanya berbekalkan usaha memupuk keazaman, kesedaran, dan sedikit keseronokan membaca, maka lambat laun usaha murni ini akan menjadi satu budaya dalam diri kita.

Kita boleh miskin harta, tapi jangan sampai miskin ilmu pengetahuan. Bermodalkan ilmu pengetahuan kita mampu mengatasi kemiskinan harta tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. Sejarah orang ortodidak adalah sejarah kejayaan orang yang membaca, dalam erti kata orang yang mahu belajar sendiri tanpa guru. Tanpa melalui institusi formal. Bagi mereka, Guru mereka adalah buku. Guru mereka adalah para pengarang, penulis yang telah tersohor di merata dunia. Ada pepatah mengatakan “Universiti yang sebenarnya adalah perpustakaan” ini bermakna kalau anda memiliki perpustakaan maka anda memiliki pendidikan universiti walaupun tanpa sijil formal. Realitinya setiap universiti mempunyai perpustakaan tersendiri yang boleh dibanggakan dengan koleksi rujukannya yang tersendiri.

Wallahu A’lam.

Thursday, November 20, 2008

Kita Memerlukan Pemimpin "Visioner"

At Basle I founded the Jewish State… Perhaps in five years, and certainty in fifty, everyone will know it.”*

(Di Basel saya mendirikan negara Yahudi…Barangkali dalam waktu lima tahun, dalam lima puluh tahun, tiap orang akan mengetahui itu) THEODOR HERZL, Pengasas Zionisme (1860-1904)

Banyak perkara yang menarik daripada insan bernama Herzl, pengasas gerakan Zionisme.Visinya yang jelas dan jauh ke depan menjadikannya antara pemimpin yahudi yang paling berjaya.Dalam salah satu tulisannya, dia berkata bahawa di Negeri Basel, Switzerland, dia telah mendirikan Negara Yahudi. Perkara Itu diyakini olehnya. Dan dalam tempoh lima puluh tahun ke hadapan iaitu tepatnya pada tahun 1948, apa yang di cita-citakan Herzl telah menjadi kenyataan….. berdirinya sebuah negara Israel..

Sesuatu yang menarik daripada seorang bernama Herzl, dalam konteks sebuah gerakan, pertubuhan, jamaah mahupun negara bangsa ialah visinya yang jauh ke hadapan. Walaupun beberapa kali ditolak oleh golongan yahudi sendiri, tetapi berkat perjuangannya juga lah akhirnya bangsa yahudi dapat disatukan.

Saya hanya ingin membawa anda memetik sesuatu yang positif dari padan Herzl, yang psti bukan kepercayaannya mahupun jalur hidupnya, tapi yang menarik adalah visinya yang begitu besar dan jauh. Betapa pada hari ini kita melihat pelbagai kemungkaran, salahguna kuasa, rasuah meraja lela, penindasan semakin ketara di sana sini. Adakah kita sudah ketandusan pemimpin yang berwibawa, yang ada visi, idea, serta gagasan besar, yang boleh menjanjikan kemajuan dan kesejahteraan umat???? Pada masa ini kita sangat ternanti nantikan pemimpin itu… pemimpin agung yang mampu merubah segalanya. Namun kita sedar, pemimpin seperti ini tidak pernah dilahirkan secara tiba tiba. Ia lahir melalui proses proses pentarbiyahan yang ketat. Ia dibentuk, dikader, dididik, diasuh dalam susasana yang sistematik untuk mempastikan bekalan yang diberikan memenuhi kehendak dan keperluan untuk menjadi seorang pemimpin yang berwawasan.

Kita memerlukan pemimpin yang efektif. Bukan pemimpin yang hanya memperalatkan jawatan dan kedudukannya demi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu sahaja, tetapi pemimpin yang memikirkan dan meletakkan kemaslahatan ummat mendahului kepentingan peribadi dan kelompok tertentu. Dengan erti kata lain, setelah seseorang itu menjadi public figure, maka segala idea, misi dan visinya juga haruslah mencerminkan hasrat dan aspirasi masyarakat yang diwakilinya. Dia bukan sahaja menjadi milik golongan tertentu sahaja tetapi juga agama dan bangsanya..

Pemimpin yang “visioner” ini sangat kita perlukan dalam pelbagai bidang kehidupan. Di pejabat, dalam Jamaah, kampus, sekolah, NGO, kampung, serta tidak ketinggalan gerakan kemahasisawaan. Kita mengidamkan pemimpin yang berpandangan jauh, berwawasan, yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam gagasan gagasan yang dapat dipraktikkan dalam lapangan nyata.

Kita belajar daripada junjungan kita nabi agung Muhammad SAW. Beliau telah mendidik para sahabat untuk menjadi pemimpin pelapis masa depan. Biarpun terdapat konflik pada penghujung pentadbiran Khulafa’ Rasyidin, namun kita patut meniru cara rasulullah menanam dan membajai benih benih yang suatu hari nanti akan tumbuh menjadi pengganti beliau. Seseorang yang mempunyai visi dan berfikiran jauh ke hadapan, sudah pasti tidak akan mensesiakan kedudukannya untuk perkara perkara picisan, menonjolkan diri dan kelompok tertentu sahaja, tetepi lebih daripada itu, segala masa dan tenaganya diperuntukkan sepenuhnya untuk memikirkan masa depan umat, masa depan bangsa dan agamanya. bangsanya.

Pada akhirnya, kita sangat berharap suatu hari nanti akan lahirlah dari perut negara kita ini seorang pemimpin agung yang akan tampil bukan sahaja menjelang musim musim pilihan raya… menjelang musim musim pemilihan parti.. tetapi akan sentiasa mendampingi masyarakat, bersama sama ummat menangani kemelut umat yang melanda masa kini. Justeru, persiapkanlah diri anda untuk berusaha ke arah memenuhi kriteria sebagai pemimpin “visioner”


*Michael Prior. Zionism and the State of Israel. London & New York: Routledge. 1999, hal. 6

Sunday, November 16, 2008

JatiDiri "seorang" Kura Kura...

Seekor kura-kura nampak tenang ketika merayap di antara kerumunan penghuni hutan lain. Perlahan tetapi pasti melangkah dengan sangat lambat….

Kerenah kura-kura itu mengundang reaksi haiwan lain. Ada yang mencemuh, tertawa, dan menghina. "Hai, kura-kura! Kamu jalan or tidur!" perli Arnab yang berada tidak jauh dari kura-kura. Justeru haiwan haiwan yang lain pun tertawa bersama sama.

"Hai, kura-kura!" suara Tupai ikut berkomentar. "Kalau jalan-jalan jangan bawa sekali rumah tu. Berat!!!!" serentak dengan itu tak satu pun haiwan yang tak tertawa…... "Ha..ha..ha..ha! dah memang kura-kura… sellowww… lambat… lembab!" ejek haiwan haiwan yang lain semakin seronok...

Namun, yang diejek tetap saja tenang. Kaki terus melangkah. Sesekali, kura-kura menoleh ke kiri dan kanan melihat wajah wajah teman teman sesama penghuni hutan. Dia pun tersenyum. "Apa kabar teman teman?" ucap si kura-kura ramah.

"Kawan, alangkah baiknya sekiranya engkau berjalan jalan tanpa membawa rumah mu… simpan saja rumah itu…. Engkau boleh berjalan dengan lebih cepat!!!!," ucap Sang Kancil dengan lebih sopan. Ucapan Kancil itulah yang akhirnya menghentikan langkah kura-kura. Ia seperti ingin mengucapkan sesuatu.

"Tidak mungkin aku melepas rumahku," suara kura-kura begitu tenang. "Inilah jatidiriku. Melepas rumahku, bermakna melepas jatidiri ku. Inilah aku. Aku akan tetap berbangga sebagai kura-kura, di mana-mana jua dan bila-bila masa pun!" jelas si kura-kura begitu percaya diri.

------@@@@@@@@@@@@@@---------

Menyingkap makna sebuah kehidupan sebagai sebuah peperangan, mendatangkan sebuah kesimpulan bahawa walaupaun kita merasa tidak ada musuh pun kita sebenarnya sedang berperang. Kerana musuh dalam kehidupan bisa datang dalam pelbagai bentuk…. godaan nafsu, bisikan syaitan, dan pelbagai persepsi negatif. Inilah peperangan yang menghakis keaslian jatidiri: sebagai muslim khususnya, aktivis, serta dai.

Jati diri kita perlu kita pertahankan walau apa juga yang menanti disepanjang perjalanan… Kita tidak seharusnya mati sebelum sampai ajal…Kerana orang-orang yang kalah dalam peperangan jatidiri bisa diibaratkan sebagai mayat mayat yang berjalan…. Mati sebelum benar benar mati…. Nauzubillah…

Justeru, tidak hairanlah jika kura-kura begitu gigih mempertahankan rumahnya walaupun nampak terlalu membebankan sepanjang hidupnya. Biarpun terpaksa berjalan lambat…. Biarpun terpaksa menelan segala tohmahan…. Ejekan… sindiran… demi mempertahan prinsip yang teguh dipegangnya…yang diyakininya…. Kura-kura punya satu prinsip yang akan terus diperjuangkanya : inilah aku!!!!

Sunday, November 09, 2008

OBAMA... Lebih Merugikan Dunia Islam???

Pemilihan Presiden Amerika telah pun berakhir tidak lama dulu. Seperti dijangka ramai pihak, calon popular kulit hitam pertama dari Parti Demokrat, Barrack Obama, telah memenangi pemilihan itu. Dalam sejarah pemilihan presiden Amerika, Obama merupakan calon kulim hitam pertama memenangi jawatan tersebut. Bahkan undi yang diperolehi Obama melebihi 50%. Satu pencapaian baru dalam sejarah parti. Justeru, masyarakat dunia melihat kemenangan ini adalah fenomena baru lanskap politik antarabangsa dan tak kurang juga yang meletakkan harapan menggunung pada bahu Obama untuk merintis perubahan sepertimana yang dilaungkan Obama sepanjang kempen, “change, we can believe in”.

Pada dasarnya, sesiapa saja yang menjadi presiden Amerika Syarikat, baik Bush, Mc Cain mahupun Obama, kebijaksanaan negara uncle Sam dalam mendepani negara negara islam khususnya akan tetap sama. Ini kerana kebijaksanaan Amerika merupakan permasalahan strategi yang tidak sepenuhnya berada pada tangan presiden. Keputusan yang diambil merupakan hasil pemikiran kolektif kongres Amerika yang sememangnya didominasi oleh kaum yahudi.

Walaupun Amerika mengamalkan sistem dua parti, tapi pada hakikatnya kedua dua parti yang bertanding disifatkan sebagai pelanduk dua serupa. Perbezaan antara Parti Republikan dengan Parti Demokrat di Amerika bagaikan perbezaan antara Parti Amal dengan Parti Likud di Israel. Perbezaan ini menyerupai perbezaan antara Al-zikbu wa tsa’lab (perbezaan antara serigala dengan serigala). Jadi siapapun yang menang berarti kemenangan serigala. Cuma yang membezakan kedua dua parti tersebut adalah pada nama dan cara pendekatan. Kalau Parti Republikan berusaha menggapai matlamat secara terang terangan dan kekerasan, Parti Demokrat dilihat lebih menggunakan kaedah yang halus, melenakan, seperti menitiskan racun dalam madu.

Dalam konteks Obama –Mc Cain, cara yang diguna pakai oleh Mc Cain dilihat lebih menguntungkan dunia Islam. Caranya yang lebih terbuka menyatakan konfrantasinya akan membangkitkan kekuatan umat islam yang selama ini terpendam. Kerana umat islam menyedari akan adanya ancaman yang perlu dihadapi. Sedangkan pendekatan Obama lebih halus berbanding Mc Cain walaupun pada asasnya matlamat mereka berdua tidak jauh berbeza.

Dalam pada itu, Obama telah menyatakan sokongannya secara terbuka terhadap Israel. Selain bantuan dana perang, Obama juga berjanji akan menjadikan Jerussalem sebagai ibukota Israel. Beliau menganggap “Israel adalah mukjizat bagi Timur Tengah”. Kenyataan beliau sampaikan dalam konferens tahunan American Israel Public Affairs Committee.

Dalam mendepani suasana semasa di Iraq, Obama sudah pasti akan menarik tenteranya secara bertahap. Keyakina Obama sangat kuat bahawa hegemoni Amerika di mata dunia semakin pudar kerana pencerobohan tenteranya di Iraq. Bahkan sampai hari ini, Amerika tidak dapat membuktiakan dakwaan awalnya bahawa Iraq mempunyai senjata nuklear.

Dalam mengemudi roda pemerintahan AS, rancangan dan persiapan Obama nampaknya lebih rapi. Obama memberikan fokus terhadap Afghanistan dan Pakistan terlebih dahulu sebelum memberi perhatian kepada Negara Negara lain seperti Iraq, Mesir dan Negara islam yang lain. Rancangan inilah yang akan dilaksanakan oleh pentadbiran Obama dalam usaha untuk menghias semula wajahnya di mata antarabangsa selepas 8 tahun pentadbiran bush menjadikan wajah Ameriaka seolah olah badut sarkas yang sedang membuat pertunjukan.

Obama sebenarnya adalah antara senarai korban dari strategi dan sandiwara yang direka zionis. Justeru ramai yang menuntut agar Obama berusaha menebus dosa yang telah dilakukan pentadbiran terdahulu.. memetik kata kata Pemimpin Ikhwanul Muslimin Jordan, Hamam Said : "Kemenangan Obama adalah bukti kegagalan dan kerendahan Bush. Obama juga harus bisa menebus dosa-dosa yang telah dilakukan sayap konservatif Amerika, dibawah presiden Bush, terhadap dunia Islam dan Arab,"

Terdahulu pucuk pimpinan tertinggi ikhwanul muslimin Mesir, Syaikh Muhammad Mahdi Akif, telah menyampaikan seruan yang sama terhadap presiden baru Amerika Syarikat itu. Dalam suratnya antara lain beliau meminta agar Obama mampu membangunkan dan mentadbir kebijaksanaan politik ngerinya keatas dunia islam khasnya dengan adil dan benar.

"Saya menyerukan kepada anda, Obama, untuk menjalankan demokrasi dan hak asasi manusia secara benar dan dalam erti yang sebenarnya."

Dalam pada masa sama, Syaikh Akif tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap Obama kerana faham bahawa Obama bukanlah individu tunggal yang menentukan hala tuju dan polisi Amerika. Namun begitu masyarakat melihat Obama sebagai figure yang lebih bersifat moderat seperti juga mendiang presiden John F Kennedy.

Thursday, November 06, 2008

Mengapa Lalat Sukar Di Pukul???

Sudah berapa kali Anda berhasil memukul lalat dengan tangan? Susah kan?? Mahu tahu rahsianya????
Kajian selama 20 tahun oleh Michael Dickinson bersama dengan Esther M dan Abe M Zarem dari Institut Teknologi California (Caltech) berjaya merungkai rahsia ini..mereka menggunakan kamera digital yang dapat merakam kelajuan dan resolusi tinggi.

Mereka mendapati bahawa lalat dapat mengenali ancaman berdasarkan lokasi. Otaknya akan menghitung seberapa jauh ancaman terhadapnya sebelum memutuskan untuk mengepakkan sayap dan terbang.
Setelah mengenalpasti arah ancaman, kakinya bersedia untuk terbang ke arah berlawanan. Semua persiapan melarikan diri dapat dilakukannya dengan sangat cepat, hanya 100 milisaat setelah ia mengesan adanya bahaya.

"Ini menunjukkan begitu cepatnya otak lalat memproses informasi sensorik menjadi respons gerakan yang sesuai," kata Dickinson.
Bahkan, lalat mengatur postur tubuhnya sesuai dengan jenis ancaman.
Ertinya, lalat telah mengintegrasikan dengan baik antara informasi visual dari mata dan informasi metasensorik di kakinya. penemuan ini memberikan petunjuk mengenai sistem saraf lalat dan menunjukkan bahawa di otaknya terdapat sistem pemetaan posisi ancaman.
subhanallah.... anda ada cara berkesan untuk memukul lalat????

Monday, November 03, 2008

Traffic Light Yang Lambat...

Hari meningkat siang. Seperti biasa aku memulakan perjalanan ke ofis dengan kereta antikku. Suatu perkara biasa yang selalu ku lakukan setiap hari. Aku tersentak sejenak, teringat bahawa pada pagi ini aku ada tugasan yang perlu segara kuselesaikan. sebenarnya aku suke pergi ke sana... cuma sayangnya aku perlu mengharungi kesesakan lalulintas... kesesakan yang sememangnya menjadi perkara biasa di negeri mutiara ini... bahkan aku pun menjadi terbiasa dengan suasana itu... apatah lagi pada waktu waktu puncak seperti pagi ini... semenagnya aku tak dapat lari dari menempuhi kesesakan... apa dayaku..???

Untuk mengusir rasa stress karena kesesakan.. biasanya aku bernyanyi dengan lagu - lagu terbaru, dengan lagu - lagu yang aku sukai…lagu lagu yang ada dalam simpanan ku.. atau apa juga lagu yang berkumandang dari corong radio kereta antikku ini....yer la... lagunya anak - anak muda zaman sekarang… Kala itu aku sampai di persimpangan sebelum masuk ke highway, terhenti karena lampu merah. Seperti biasa aku bersenandung sambil memperhatikan keadaan sekeliling, mencari hal - hal yang menarik yang dapat dilihat, Tetapi kemudian… Ah… Mataku terpandang pada lampu trafik, kali ini bukan lampu merahnya tapi skrin penghitung waktu kat situ…

saat demi saat kuperhatikan.. mulai dari kiraan ke 90…tik..tik..tik…Ya Allah terlalu slow rasanya putaran angka-angka itu... lama - lama aku tersedar…Astaghfirullah…Seandainya waktu menunggu ini aku gunakan untuk berzikir mengingati Engkau…maka berapa banyak kalimat zikir yang dapat aku lafazkan…???

aku mula berkira kira dengan kepakaran matematik ku hehehhe…

lampu merah biasanya 90 saat…

jika setiap 2 saat aku beristighfar misalnya…

maka aku dapat melakukannya sebanyak 45 kali…kalau aku melakukannya disepanjang perjalananku…(kebiasaanya perjalananku ke HQ mengambil masa dalam 45 minit… Maka...

Subhanallah… 45 * 60 / 2 = 1350 kali…sebanyak itu rupanya...

itu hanya untuk satu perjalanan singkat... bagaimana pulak sekiranya ku amalkan untuk mengiringi setiap perjalanan untuk memenuhi tugas ku...???

tapi rupa rupanya dalam banyak trip yang kulalui...masa ku banyak kuisi dengan dendangan lagu lagu yang keluar dari corong radio kereta antik ku... lagu lagu yang kengkadang aku sendiri tak tahu...

sejenak ku teringat ayat ini…

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,(iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna…(Al Mukminun:1-3)

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya sentiasa dalam kesabaran. ” (Al- ‘Ashr :1-3)

Ya Allah…Ampuni aku yang telah menyia-nyiakan setiap saat waktu darimu…Ampuni aku yang telah banyak melakukan perbuatan yang sia - sia….

Ya Allah..Ingatkanlah aku jika aku lupa kepada-Mu…

Friday, October 31, 2008

Erti Kehidupan..

Apabila berbicara mengenai kehidupan saya akan bertanyakan persoalan,
"Berapa kalilah kita hidup" ?
dan jawapan yang saya selalu dengar,
" Kita hidup hanya sekali"
Inilah yang selalu disebut: "Enjoylah beb… hidup hanya sekali".
Memahami hidup hanya sekali merupakan asas kesesatan umat hari ini. Kehidupan selepas mati sudah tidak ada di dalam ruang minda manusia ini. Inilah minda jahiliyyah yang bertanya kepada nabi s.a.w.:" Apakah apabila manusia mati dan sudah menjadi tulang belulang masih boleh dibangkitkan?" Mereka menganggap kehidupan hanyalah kehidupan di dunia. Kepercayaan sesat ini pula bertunjangkan kepada ketidakyakinan kepada Allah sebagai al-Rab, al-Malik dan al- Ilah. Tidak yakin kepada Allah kerana tidak percaya kepada al-Quran . Tidak beriman dengan kitab al-Quran kerana tidak percaya kepada nabi Muhammad s.a.w. Tidak percaya kepada nabi s.a.w. ialah kerana kejahilan disebabkan kurang ilmu atau memiliki ilmu yang salah dan wujud salah faham terhadap nabi Muhmmad s.a.w.
Kehidupan yang sebenar ialah kehidupan Akhirat. Inilah yang disampaikan kepada kita oleh nabi Muhammad s.a.w. yang terdapat di dalam al-Quran yang merupakan bicara Allah, Pencipta Alam ini, Pemilik Mutlaknya, Pengatur semua undang-undang dan sistem dan Ilah yang wajib disembah, ditaati dan dikasihi. Dunia adalah sebuah perhentian dalam perjalanan menuju akhiratDunia adalah tempat manusia diuji dan akhirat tempat perhitungan dan pembalasanDunia negeri beramal dan akhirat negeri menerima balasan Dunia tempat berjihad dan bersusah payah manakala akhirat tempat istirehat bagi manusia yang beriman dan lulus ujian Allah.
Manusia diturunkan kedunia memikul amanah, memikul tanggungjawab, membawa misi Allah dan akan dimatikan seterusnya dikembalikan kepda Allah untuk diberi pembalasan. Dunia adalah tempat perjuangan, melawan nafsu, melawan iblis, melawan tarikan dunia, melawan fitnah kuffar dan bersabar terhadap hasad dengki orang-orang fasik.Ujian bermula sejak di alam nutfah, berjuta-juta benih sudah mati sebelum berjaya menembusi sebutir telur untuk memulakan sebuah kehidupan. Kehidupan di alam rahim memberi bebanan, keperitan, kesengsaraan hidup seorang ibu yang bakal melahirkan seorang khalifah adalah satu kepayahan, kepayahan hidup diusia bayi, karenah zaman kanak-kanak, zaman remaja dan ujian tanggungjawan diusia remaja, meniti umur di usia tua dan kembali kepada Allah membawa dosa membawa reda.Ibu bapa yang berjaya menyediakan bayi-bayi ini untuk memikul bebenanan khalifah telah dijamin oleh Rosulullah s.a.w. sebagai ahli syurga.Itulah erti kehidupan ini ; ia hanya medan ujian Allah untuk memilih ahli syurga atau neraka.Kehidupan ini penuh misteri, kejahilan, kegelapan, kezaliman hingga pada diri sendiri tetapi Allah yang mencipta kehidupan ini telah mengajar ilmu, menerangi hidup dengan cahaya hidayah. mehapuskan kezaliman dengan mengajar hakikat Tauhid kepda Allah dan menceritakan hakikat kehidupan sebenar..Namun hingga kini masih ramai manusia masih kabur, gelap, tidak mengerti, tidak memahami, tidak tersedar, terlena, terleka, diheret taufan nafsu, ditipu fatamorgana dunia dan merasa cukup beramal untuk diri sendiri…

Tuesday, October 28, 2008

3 persoalan....

Kalau kita cermati kenapa manusia berani menolak Tuhan Pencipta mereka dan Pencipta alam semesta, baik secara total maupun setengah-setengah, niscaya kita akan menemukan akar permasalahannya. Akar permasalahannya berasal dari sifat sombong dan lalai serta mudah tergoda oleh syaitan dan kenikmatan dunia yang amat menyeronokkan dan melalaikan. Lalu timbul persoalan, bagaimana cara menghindarkan diri dari sifat-sifat negatif tersebut? Kesombongan, kelalaian dan keseronokan, hubbud dunia dapat dineutralkan dengan tiga pertanyaan besar berikut :



1. Dari mana saya berasal?
2. Apa yang perlu saya buat di dunia ini? Atau, apa misi dan visi hidup saya di dunia ini?
3. Mahu kemana saya setelah meninggalkan kehidupan dunia yang fana ini?

Tiga persoalan besar tersebut selalu menjadi perbincangan yang menarik sepanjang sejarah manusia dan akan tetap menjadi kata kunci dalam menyingkap tabir penolakan dan penerimaan tentang konsep Tuhan Pencipta. Kerana, ketiga persoalan tersebut menjadi engin utama yang akan menggerakkan tiga kecerdasan manusia, iaitu Spiritual, Emotional dan Intellektual, yang akan membantu dan memudahkan kita dalam mendalami dan menghayati tiga hakikat utama kehidupan :

1. Hakikat Tuhan Pencipta
2. Hakikat manusia dan alam semesta
3. Hakikat kehidupan dunia

Oleh sebab itu, kebaikan dan keburukan yang timbul dari dalam diri manusia yang kemudian menjelma ke dalam tindakan sehari-hari sangat erat hubungannya dengan sejauh mana pengetahuan dan penghayatan mereka terhadap ketiga tiga hakikat besar tersebut. Dengan kata lain, seperti apa pengenalan dan penghayatan seseorang terhadap hakikat Tuhan Pencipta, Hakikat manusia dan alam semesta, serta hakikat kehidupan dunia ini maka akan seperti itu pula presepsi yang terbangun di dalam dirinya. Persepsi tersebut akan mewarnai tindakannya dalam menjalani kehidupan dunia yang singkat ini....

Saturday, October 25, 2008

Ohhh My Dear Friend

Everynow and then we find a special friends
We never let us down who understands it all
Reaches out each time you fall
You are one of the best friends that I found

I know you can’t stay
A part at you will never ever go away
Your heart will stay

I’ll make a wish you
And I hope it will comes true
That life was just be kind
To such gentle mind
If you lose you way
Think back on yesterday
Remember we this way

And I’ll be right behind your shoulder watching you
I’ll be standing by your side in all you do
And I won’t even leave as long as you believe
You just believe
Good friend we lose, Good friend we have......

Selamat Datang Ke Alam Syber !!!!

AL-ILTIZAM...

Di Sini Ku Bermula....
Langkah Pertama...
Membentang Jalan..
Melarik Cita cita...
Menghimpun Ilmu Di Dada..
Melakar Kejayaan...
Mencurah Keringat Dan Idea....
Memenuhkan Tekad Di Dada....
Mendampingi Pelbagai Ragam Manusia...
Mendepani Seribu Tipu Daya...
Mengharungi Cabaran Getir..
Menyusuri Liku Perjalanan...
Menyesuaikan Setiap Perubahan....
Menghirup Udara Baru....
Demi Sebuah Harapan....
Mengisi NAFAS KEHIDUPAN....

Related Posts with Thumbnails