Hari ini telah masuk 2 Januari 2009. Sepanjang pengalaman hidup saya, belum pernah saya menulis seluruh aktiviti harian selama setahun itu lengkap di dalam satu buku diari. Kalau membeli buku diari setiap tahun itu memang tidak pernah ‘miss’. Tapi, kalau menulis semuanya di dalam diari, untuk satu hari kelak kita akan melihat, membelek dan membacanya sendiri, lalu kita akan senyum dan tertawa atas apa yang pernah kita lakukan. Itu untuk yang lucu. Kalau yang pahit, tentu kita akan syahdu bahkan kadang kala sampai menitiskan airmata sendirian mengenangkannya. Kalau manis, kita akan senyum dan berimaginasi sendirian atau berkongsi dengan teman teman. Itu memang sifat dan naluri manusia yang semula jadi. Tangis dan tawa, kecewa dan bahagia itu memang suatu lumrah dalam mengisi sifat manusiawi itu sendiri.
Apabila kita bercerita tentang Tahun Baru, akan tergambar dalam kepala dan imaginasi kita tentang program dan konsert oleh para artis, letupan mercun di ibu kota yang menghabiskan kos berjuta-juta, serta sesaknya ibu kota dengan muda-mudi yang ‘berkeliaran’ di sana sini. Cukup sudah pengalaman saya sekali dua semasa masih belajar dahulu. Wow! Telatah, kerenah dan watak mereka, sudah menjadi kebiasaan dalam budaya masyarakat moden kini. Baik yang jelita berpakaian seksi, abang kacak beruniform ala funky, si ayu bertudung labuh tersenyum mesra, atau si lebai berjanggut ala pak imam... semuanya telah mengisi ruang diary dan memori ingatan saya, bahawa sesungguhnya iman dan taqwa sahajalah yang mampu menyelamatkan manusia daripada perbuatan maksiat. Bukan yang lain...
0 komen:
Post a Comment