~~“Walaupun Puyuh Mencuri Sayap Helang, DiaTetap tak Bisa Terbang”~~

Waktu Solat

Seri Iskandar, Parit, Beruas, Kg Gajah
[ e-Solat]
 
 Imsak
5:41
 
 Subuh
5:51
 
 Syuruk
7:04
 
Zohor
13:13
 
Asar
16:18
 
Maghrib
19:15
 
Isyak
20:24

Saturday, December 20, 2008

Cabul Sungguh Mulutmu, Tuan!!!

Bersiar siar di alam maya sememangnya menyeronokkan daan menjanjikan pelbagai maklumat... pun begitu kita kena sensitif untuk menilai bahawa setiap maklumat yang kita perolehi adalah sahih semata mata sahih..
Persiaranku kali ini menemukanku dengan artikel yang sememangnya sedang panas diperkatakan sekarang ini. PPSMI. tapi ini bukan berkenaan PPSMI itu sendiri tapi insan insan disebalik PPSMI...
inilah coretannya...

Prof Abdullah Dalam Persidangan Meja Bulat PPSMI di Putrajaya kelmarin, berkali-kali isu Melayu luar bandar yang kuat terpukul oleh dasar PPSMI ini, ditimbulkan oleh mereka yang prihatin.

Lalu seorang pegawai Melayu Kementerian Pelajaran Malaysia berkata dengan menghina, lebih kurang begini “Orang luar bandar ini dalam bahasa Ingeriskah, Melayukah serupa sahaja!”

Maksudnya ‘jangan diambil kira Melayu di luar bandar ini, mereka itu tidak penting. Biarkan mereka gagal.’

Ada tiga kekhilapan Tuan.

Pertama, Melayu luar bandar inilah yang setia mengundi parti yang memerintah, lalu kita menganggap mereka tidak dikira dalam menentukan nasib mereka.

Kedua, mereka ada hak yang sama dengan kita yang di bandar, mereka pun warga negara.

Ketiga, tepuk dada tanya selera, dari mana usul asalmu Tuan? Tidakkah Tuan juga datang dari darat?

Saya fikir pegawai ini perlu diberi peluang untuk berkhidmat di bawah bendera kawasan hulu... selain Ulu Kelang, Ulu Kinta,,, ataupun hulu hulu yang lain... biarlah hulu sebenar benar hulu....Moga-moga sedarlah beliau akan tugas yang berat dipikul memandaikan bangsa.

Friday, December 12, 2008

Lambaian Irau Menggamit Semula

Jam menunjukkan pukul 8.35 pagi ketika aku memutuskan untuk menghantar kereta klasik kesayanganku ke bengkel. Sememangnya aku sudah atur perancanganku hari ini memandangkan trip ke Gunung Bubu terpaksa dibatalkan kerana tidak mendapat kelulusan dari pihak berwajib. Setelah berbincang dengan doktor keretaku, aku terpaksa menerima hakikat bahawa hari ini aku terpaksa mengeluarkan wang yang agak banyak untuk kereta klasik kesayangan ku ini.

Dalam kebosanan menunggu keretaku siap tiba tiba handset buruk ku berdering. “apa lagi yang dia mahu”.. detik hatiku ketika melihat sebuah nama tertera di skrin.
“nko dok mana ni?” sapanya.
“aku tengah servis keta ni. Apa hal nya?” Tanya ku.
“Lama lagi ker? Ok, kita jadi p Irau” teriaknya..
Aku terkedu sebentar sebelum aku mengiyakan dengan nada lemah.

Aku seolah tak percaya. Biar betul dia ni. Kepala ku ligat berpusing. Barang yang aku packing kelmarin masih belum aku usik lagi. Masih rapi dalam beg galasku. Cuma aku tak tahu siapa yang akan pergi trip kali ini. Penghujung penantianku akhirnya tiba setengah jam kemudian. Setelah menyelesaikan urusan bayaran, aku terus memecut laju balik ke rumah.


Ramai yang sudah menunggu ketika aku sampai di tempat yang dijanjikan. Cuma ketua delegasi sahaja yang belum nampak kelibatnya. Sepuluh minit kemudian dia datang dengan 2 orang student master dari Vietnam. Kami berkenalan ala kadar sahaja…banyak lagi masa fikirku. Setelah berbincang ringkas dan memeriksa barang keperluan, kami ber-7 memulakan perjalanan tepat pukul 12.30 PM. Dengan menaiki dua buah kereta kami menuju destinasi pertama iaitu Tesco Ipoh.

Ime sempat berbisik kepada ku semasa menaiki skalator Tesco. “ depa ni semua first timer, kuat makan, so trip kita kali ni makan sedap”. “ikut lah. Nko pilih la menu nanti aku selesaikan” balas ku. Dalam waktu yng singkat sahaja troli dah pun penuh dengan barangan makanan. “ini betul betul nak makan besar” detikku dalam hati.

Kami meninggalkan Tesco Ipoh dan menuju ke puncak Brincang. Perjalanan mengambil masa dalam 90 minit. Kami singgah sebentar di kampong Raja untuk menbasuh ayam dan udang, selain mencari tambahan bekalan air bersih untuk keperluan di puncak nanti. Setelah puas menempuh perjalanan dalam kabus tebal akhirnya kami sampai di Puncak Brinchang. Jam di tanganku menunjukkan pukul 07.13PM. Kabus tebal dan angin agak kencang menyambut ketibaan kami. Suhu ketika itu adalah 16 darjah C.

Aku dan Ime melihat keadaan sekeliling untuk tempat berkemah. Kami berkemah di bahagian atas memandangkan camp site sebelah bawah telah dipenuhi dengan kemah kemah. Kami tak tahu siapa mereka. Dia memberi arahan mengagihkan tugasan untuk dibuat. Tanpa diperintah aku dan assistantku mula mengeluarkan barangan makanan untuk di masak dan yang lainnya mula sibuk memasang kemah. Sebuah kemah tertutup dan sebuah kemah terbuka. Malam ni aku masak sambal udang, rendang ayam dan ayam pedas. Minuman for sure kopi O panas.

Atas gunung kopi O memang favorite. Teringat aku pengalaman ketika mendaki Trans Titiwangsa yang lepas. Ketika itu kami berada di puncak Gunung Korbu, sambil menikmati pemandangan petang, kami berbual kosong sambil menikmati Kopi O panas. Tak lama kemudian satu kumpulan pendaki sampai ke puncak. Dua orang potter dan sepasang suami isteri yang berpangkat Tan Sri. Mereka berkemah di sebelah kami. Malam semakin dingin. Angin yang nakal telah membawa terbang bersama aroma kopi O ke kemah tan sri. Tak lama kemudian salah seorang dari potter datang sambil membawa satu paket Milo 3 in 1 (isi 20 sacket). “Tan Sri minta tukar dengan kopi” katanya. Kami saling berpandangan. Akhirnya kami habaq dengan baik yang kami tak mahu menukarnya. Memandangkan perjalanan kami masih jauh lagi dan bekalan kami memang cukup-cukup sahaja. Minta maaf Tan Sri… ini gunung la.. bukannya Kuala Lumpur….

Kabus tebal sentiasa menyelimuti kami. Kami berbual kosong bercerita pengalaman masing masing. Sekali sekala dihiasi dengan gelak ketawa. Seronok rasanya. Hilang seketika segala jenis tekanan. Tekanan kerja, tekanan pelajaran, eksperimen tak siap lagi dan banyak perkara yang membebankan kepala.

Malam merayap terlalu perlahan. Suasana yang terlalu sejuk membuatkan perut kami cepat benar terasa lapar. Dalam kesejukan malam kugagahi jugak untuk menggoreng fries… menambahkan lagi semangat untuk bersembang. Malam ni tak boleh berhenti disini saja… banyak lagi perkara yang harus di bualkan. Dalam kesamaran kabus malam kami melihat sekumpulan wanita datang menuju ke arah kami. “Siapakah gerangan mereka itu” fakir ku.

Tujuh orang kesemuanya. Nampak keletihan dan seorang daripadanya hampir pengsan. “di mana ada air bang?” Tanya salah seorang dari mereka. Chef assistant menunjukkan water point di sebelah sana. Kami sempat bersembang dengan mereka ketika mereka saling menunggu kawan yang lain membersihkan diri. Rupanya mereka baru turun dari Gunung Irau. Aku melihat jam yang ketika itu menunjukkan pukul 10.13 malam. Kami menggelengkan kepala. Tak dapat kubayangkan bagaimana susahnya menempuhi track Irau pada waktu malam. Memandangkan track ini sentiasa basah dan becak.

Ime sempat menghulurkan secawan kopi O panas kepada kepada seorang dari mereka yang nampak terlalu lemah dan hampir tumbang. Setelah menjamu mereka dengan minuman panas, mereka minta izin untuk meredar kembali ke kemah. Baru kami faham, kumpulan yang berkemah di base camp rupanya pelajar dari UPSI. Seramai 80 orang pelajar. Banyak perkara yang bermain di kepalaku.. macam mana perancangan mereka sehingga terpaksa turun pada waktu malam?? Terfikir oleh ku laluan yang akan kami lalui esok pagi. Pasti macam sawah padi yang baru dibajak. Lunyai dan luncai hehehhe Bayangkanlah 80 pasang (belum kira fasilitator, boleh mencecah 100) kaki manusia melalui jalan yang sama pergi dan balik.. dalam keadaan hujan renyai renyai.. aku dah dapat agak apa yang harus aku buat esok… Allahu akbar.

Setelah puas bercerita, kami pun mula menyusun tempat untuk tidur. Setelah dicongak akhirnya aku terpaksa tidur dengan 2 orang lagi student dari Vietnam dalam kemah tertutup memandangkan kemah terbuka dah pun penuh dengan 4 orang yang lain yang lebih bersaiz.. tak lama kemudian suasana semakin sunyi sepi yang kedengaran hanyalah tiupan angin yang membawa aura sejuk sepanjang malam….

Keesokan paginya..... to be continue...


Sunday, December 07, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Adha


Selamat Hari Raya Aidil Adha dan selamat menjalankan ibadah korban kepada semua pengunjung blog ini yang beragama islam dan selamat bercuti kepada yang lain.

Saturday, December 06, 2008

Berehat Seketika Mencari Spirit Zulhijjah

Lazimnya, sesuatu yang melakukan perjalanan panjang, pasti memerlukan perhentian untuk berhenti seketika. Itulah lumrah yang bernama makhluk, kerana ia memiliki kapasiti maksima yang perlu dijaga. Had-had tertentu perlu dipatuhi agar usia jangka hayatnya dapat terpelihara. Laksana sebuah enjin, setelah bekerja terus-menerus sehingga mencapai jumlah jam atau kilometer tertentu maka ia perlu direhatkan, diservis serta diganti komponen-komponennya yang rusak. Sekiranya dibiarkan enjin itu bekerja tanpa henti maka sudah pasti enjin itu akan cepat rusak keseluruhannya.
Demikianlah juga keadaan jiwa manusia. Setelah melakukan perjalanan tertentu, ia perlu berhenti seketika untuk bermusahabah, bertaubat, dan mengumpulkan serpihan semangat untuk perjalanan berikutnya. Dengan pola yang demikian, maka jiwa kita mampu menempuh perjalanan yang lebih panjang dengan penuh keselesaan dan keseronokan untuk mencapai tujuan yang diimpikan.
Segala aktiviti manusia, baik aktiviti politik, ekonomi, sosial, budaya adalah aktiviti besar jika disulami dengan misi dakwah menyebarkan rahmatan lil alamiin. Justeru, janji-janji manis melenakan yang mengiringi perjalanan itu perlu kita ketepikan. Bahkan sampai kepada peringkat tertentu, kita perlu berperang melawan kejatuhan serta keputus-asaan, untuk mengelakkan perjalanan suci murni ini menjadi terhenti sebelum mampu mengecapi cita-cita murni. Oleh itu, kita memerlukan jiwa-jiwa yang kuat agar perjalanan menjadi lancar dan setiap halangan dan rintangan mampu kita depani dengan penuh kejayaan
Allah SWT melalui sifat Rahman dan RahimNya, mengetahui tabiat jiwa menempuhi perjalanan panjang yang penuh dinamika tersebut, sehingga Dia menurunkan instrumen-instrumen yang mampu mengembalikan jiwa pada kestabilannya. Solat fardhu lima waktu secara harian, solat jumaat secara mingguan, zakat dan puasa (Ramadhan) secara tahunan, dan ibadah haji sekali seumur hidup (jika mampu), adalah sebagian dari bentuk-bentuk instrumen yang mampu menjaga kestabilan jiwa dari masa ke masa.
Bulan zulhijjah datang menyapa lagi. Ini menandakan akan berakhirnya kalendar 1429H dan akan bermulanya 1430H. Sangat cepat berlalu rasanya. Bulan zulhijjah merupakan bentuk lain antara instrumen penguat jiwa. Banyak hikmah yang dapat kita petik dari pemuliaan bulan Zulhijjah ini, terutama pada sepuluh hari pertamanya. Zulhijjah merupakan terminal pemulihan ruhiah bagi jiwa kita yang telah mengalami kelesuan setelah menempuh perjalanan cukup panjang (dua bulan, Syawal dan Zulqaidah). Inilah one stop center yang tepat untuk bermuhasabah diri dan menaikkan spirit mujahadah khususnya bagi yang mengalami kelunturan semangat untuk menempuh perjalanan seterusnya yang masih panjang.
Laksana sebuah kafilah, pada ketika ini kita sedang bermusafir menaiki kenderaan yang berbeza-beza. Ada kenderaan politik, kenderaan ekonomi, kenderaan sosial, kenderaan profesional, serta kenderaan dakwah. Masing-masing memberikan komitmen ke arah satu tujuan. Namun dalam perjalanan, pelbagai halangan dan rintangan serta permasalahan teknik sentiasa menemani perjalanan yang penuh variatif ini,mempunyai liku-likunya yang tersendiri, serta perlukan kaedah yang pelbagai. Tidak mustahil dalam mendepani setiap permasalahan, masing masing membuat keputusan dan ijtihad tersendiri. Namun ada juga yang terpaksa berhenti kerana tidak mampu untuk membuat keputusan jalan mana yang perlu ditempuhi seterusnya.
Perbezaan kenderaan, tidak seharusnya menjadi batu penghalang ke arah mencapai tujuan asalnya. Ada kenderaan yang laju ke hadapan meninggalkan yang lain, namun ada juga yang terpaksa menerima hakikat bahawa kenderaannya jenis yang sudah uzur dan tidak mampu menandingi kenderaan orang lain. Ada juga yang terpaksa berhenti menukar tayar yang pecah, over heating, dan bermacam macam lagi kerenah lumrahnya satu perjalanan. Tak kurang juga yang mengharungi perjalanan dengan lancar tanpa sebarang kerusakan. Yang pasti perjalanan perlu diteruskan sehingga ke garisan penamat walau apa jua yang berlaku
Begitulah keadaan umat islam masa kini, ibarat sebuah kafilah. Malangnya, suasana semasa dipenuhi dengan prasangka buruk, penuh kecurigaan sehingga membantutkan perjalanan. Umat islam dilihat bukannya bergerak kehadapan namun hanya bergerak di tempatnya sahaja. Sekiranya suasana semasa ini berterusan dan tidak disulami dengan sikap positif, maka selamanya keadaan ini tidak akan berubah. Umat islam memerlukan satu turning point untuk mewujudkan persatuan, kesepaduan dan kerjasama erat tanpa mengira mazhab dan fahaman politik untuk berganding bahu bersama sama menuju ke hadapan.
Untuk kita yang sudah terkeluar dari jalan yang sebenar, maka bermuhasabah dan bertaubat adalah langkah bijak untuk mengurangi sifat takabbur dalam diri. Sedangkan prasangka buruk perlu kita kikis dari dalam diri terhadap sesama muslim. Syaikh Hasan Al-Bana sering menegaskan kata hikmah, ”Carilah keuzuran hingga tujuh puluh keuzuran untuk saudara Anda. Jika Anda tidak menemukan keuzuran, maka katakan, ‘Barangkali ia mempunyai keuzuran yang tidak aku ketahui’.
Alangkah indahnya jika prinsip dan kata hikmah ini kita aplikasikan dalam kehidupan persaudaraan kita. Sehingga aroma yang terlihat adalah saling menasihati dalam menegakan kesabaran dan kebenaran bukan pertengkaran, perpecahan, atau permusuhan.
Sepuluh hari pertama Zulhijjah adalah saat yang tepat untuk kembali merenung dan meningkatkan kuantiti dan kualiti ibadah kita kepada Allah SWT. Ibadah di sepuluh hari ini memiliki banyak keutamaan karena nilai tambahnya. Inilah medan untuk kita mengukuhkan kekuatan pribadi dan umat yang akhir-akhir ini semakin pudar mengikut peredaran zaman.
Marilah kita renungkan, mengapa umat islam hari ini sentiasa diselubungi dengan perpecahan dan perselisihan sedangkan seolah olah sangat susah untuk mewujudkan tali persaudaraan islam (Ukhuwah Islamiah) yang solid. Dan inilah kelemahan yang perlu kita baiki segera. Bermula dari zaman kerajaan-kerajaan islam, zaman penjajah Portugis, Inggeris, Jepun, sehingga masuknya zaman penjajah moden alaf baru oleh USA dan konco konconya, strategi yang mereka gunakan tidak pernah berubah. Bermula daripada politik devide et empire, sehingga bermulanya zaman globalisasi dan liberalisasi, semuanya menjurus ke arah merekacipta perpecahan dan melemahkan umat islam sarwa jagat.
Semoga kehadiran Zulhijjah akan meniup semangat berkorban, membawa kesedaran jiwa, menyedari kelemahan dan memperbaikinya, dosa dan prasangka buruk dapat ditinggalkan, kekuatan jiwa dapat diperkasakan. Pada kemuncaknya, pada setiap jiwa umat islam telah tertanam semangat rela berkorban, meneruskan misi dakwah rahmatan lil ‘alamin demi kemenangan dan kemegahan agama islam. Sesungguhnya tiada kemenangan tanpa adanya perjuangan, dan perjuangan memerlukan segunung pengorbanan.
Justeru, semangat Zulhijjah adalah semangat pengorbanan, maka setiap daripada kita dituntut untuk sentiasa sedia berkorban. Berkorban apa sahaja demi menegakkan kemuliaan islam.

Thursday, December 04, 2008

Membaca : Satu Keperluan!!

”Buku adalah teman bicara yang tidak mendahuluimu.
Ia teman bicara yang tidak memanggilmu ketika kamu bekerja.
Ia teman bicara yang tidak memaksamu bersolek ketika menghadapinya.
Ia teman hidup yang tidak menyanjungmu.
Ia kawan yang tidak membosankan.
Ia adalah penasihat yang tidak mencari-cari kesalahan.”

Begitulah.. tiada sedikitpun yang mampu saya nafikan daripada ayat ayat di atas. Sudah terbukti, buku merupakan sumber ilmu… membacanya menjadi jambatan ilmu.. buku, guru yang tidak pernah mengharapkan balasan mahupun imbuhan.

“Alam yang maha indah ini seumpama kitab yang terbentang luas di hadapan kita. Di dalamnya tertulis perjuangan hidup yang bakal ditempuhi oleh setiap manusia. Kita perlu membacanya, memahaminya dan menghayatinya. Ada yang bahagia namun sebaliknya terdapat juga yang sengsara. Bagi mereka yang bijaksana, semuanya itu akan dijadikan sebagai pelita dengan mengambil ikhtibar darinya”.

Pernah suatu ketika dahulu, seorang pensyarah bertanyakan kepada saya “Sudah berapa buku yang Anda baca hari ini?” seketika saya terkedu dan tidak mampu untuk menjawapnya. Saya yakin pertanyaan itu bukan sekadar pertanyaan kosong. Saya tafsirkan pertanyaan itu sebagai satu perintah. Saya ertikan sebagai satu galakkan agar saya tidak meremehkan aktiviti ringan tetapi penting kerana menjanjikan pelbagai ilmu pengetahuan iaitu membaca. Saya begitu yakin bahawa beradaptasi dengan persekitaran membaca tidak akan mendatangkan sebarang kerugian. Bahkan, pelbagai macam ilmu mampu kita perolehi tanpa perlu menghadiri kelas kelas formal, kuliah kuliah, syarahan mahupun tutorial. Yang lebih penting lagi ilmu yang kita perolehi mampu memberikan pertolongan kepada kita pada saat dan ketika kita memerlukannya apatah lagi ketika kita merasa malu dan segan untuk bertanya kepada orang lain.

Pada ketikanya ramai yang disibukkan dengan bergosip sana sini, membahas topik politik yang tak pernah berkesudahan, membicarakan keburukan dan kekurangan orang lain, dan tidak kurang juga yang hanya menghabiskan masa dengan memasang angan angan umpama Mat Jenin memasang impian. Justeru sekiranya masa yang dibazirkan itu dipergunakan untuk aktiviti membaca bahan bahan yang berbobot, maka tidak mustahil suatu hari nanti masa yang kita laburkan itu pasti akan memberikan pulangan. Menjadikan rutin membaca sebagai satu hiburan pastinya mampu meneutralkan suasana dan melupakan sejenak beban fikiran yang ada.

Membaca diibaratkan sebagai jambatan ilmu. Jambatan merupakan media yang menghubungkan. Membaca juga merupakan media komunikasi antara kita dan diri kita. Jika perut terasa lapar, kita penuhi keinginannya dengan suapan makanan, Kalau tubuh badan kita penat, kita penuhinya dengan merehatkannya. Namun, apabila hati kita beku, membaca adalah salah satu jalan keluar untuk mencairkan dan meneutralkan hati kita..

Justeru dalam Islam, membaca merupakan antara perkara utama yang harus dikuasai dan diamalkan oleh penganutnya. Ini sangat bersesuaian dengan wahyu pertama yang diturunkan kepada nabi junjungan kita SAW… “Bacalah (wahai Huhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah. Bacalah dan Tuhanmu yangMaha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.” (QS: Al-Alaq, 1-5).
Dari sini sudah sangat jelas betapa pentingnya budaya membaca (budaya ilmu) sehinggakan permulaan wahyu yang turun adalah perintah untuk membaca. Namun begitu, budaya ilmu yang suatu ketika dahulu sangat sebati pada zaman nabi, diikuti pada masa pemerintahan para khalifah, namun budaya itu tidak dapat diwarisi dan dikekalkan sehingga pada masa kini. Budaya ilmu seolah olah sangat asing dan sangat berat untuk diamalkan. Budaya membaca seolah olah menjadi satu amalan yang membebankan.

Setelah lebih satu abad lamanya bangsa melayu mengenali budaya membaca, ternyata masih terlalu lambat kemajuannya. Tradisi dan amalan membaca masih belum tertanam merata dalam kalangan masyarakat. Hanya individu tertentu yang boleh dibilang dengan jari jumlahnya yang mahu melaburkan sebahagian wangnya untuk mendapatkan sumber ilmu. Malah, terdapat beberapa individu kita yang merasa hairan apabila menyaksikan kawan-kawannya yang memiliki rak buku yang memenuhi rumahnya. “apakah kesemua buku-buku itu dibacanya?”. Satu persoalan yang datangnya daripada masyarakat yang kurang memahami budaya membaca.

Membaca belum menjadi satu keperluan hidup. Pada hakikatnya, untuk membina dan memupuk budaya membaca kita tidak memerlukan modal yang tinggi. Hanya berbekalkan usaha memupuk keazaman, kesedaran, dan sedikit keseronokan membaca, maka lambat laun usaha murni ini akan menjadi satu budaya dalam diri kita.

Kita boleh miskin harta, tapi jangan sampai miskin ilmu pengetahuan. Bermodalkan ilmu pengetahuan kita mampu mengatasi kemiskinan harta tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. Sejarah orang ortodidak adalah sejarah kejayaan orang yang membaca, dalam erti kata orang yang mahu belajar sendiri tanpa guru. Tanpa melalui institusi formal. Bagi mereka, Guru mereka adalah buku. Guru mereka adalah para pengarang, penulis yang telah tersohor di merata dunia. Ada pepatah mengatakan “Universiti yang sebenarnya adalah perpustakaan” ini bermakna kalau anda memiliki perpustakaan maka anda memiliki pendidikan universiti walaupun tanpa sijil formal. Realitinya setiap universiti mempunyai perpustakaan tersendiri yang boleh dibanggakan dengan koleksi rujukannya yang tersendiri.

Wallahu A’lam.

Related Posts with Thumbnails