PERTEMBUNGAN dan tarik- menarik antara fahaman nasionalisme dengan sosialisme, pada akhir tahun 60-an dan awal tahun 70-an, begitu hebat terjadi di mana-mana, tidak hanya di Malaysia, bahkan juga di negara-negara Arab dan di kebanyakan negara-negara umat Islam pada amnya. Sementara umat sedang mencari-cari, dan banyak yang terpukau dan terngiur dengan fahaman ini.
Islam sebagai addin, ajaran universal belum nampak muncul dengan nyata, beberapa puluhan tahun setelah merdeka, lontaran penjajah masih membekas dalam diri sebahagian pemimpin negara yang sudah merdeka ataupun sebahagian rakyat, bahawa Islam itu hanyalah agama di masjid dan surau, berkaitan dengan nikah dan hukum faraid, tiada hubungan dengan kehidupan yang luas dengan segala aspeknya.
Islam masa itu ditampilkan dengan begitu sempit, Islam tiada hubungan dengan masyarakat, negara, politik, ekonomi perundangan, pendidikan dan sebagainya. Pada masa yang sama keterbelakangan rakyat dari segi ilmu dan pendidikan, menjadikan mereka pasrah dengan apa yang disajikan, baik oleh media mahupun pihak berkuasa. Sekularisasi kehidupan disedari atau tidak, sedang menggurita pada masa itu. Memang sudah ada jabatan agama, dan pertubuhan-pertubuhan serta NGO Islam yang lain, tetapi gerakannya masih sempit dan terbatas, belum sampai mengetengahkan Islam yang syumul dan universal itu.
Kalangan muda terutama mahasiswa telah menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), membuat program keilmuan mengetengahkan idea dan hujah untuk membicarakan Islam dengan segala aspek dan keluasan ajarannya, dan sudah tentu ahli PKPIM juga ingin menghayati dan mengamalkannya seberapa yang boleh, tetapi persekitaran yang rosak dan bobrok masa itu, menjadikan gerakan dakwah pelajar ini menghadapi tribulasi dan cabaran, dan gerak langkahnya adakalanya terbawa-bawa oleh cara-cara gerakan yang belum Islami, namun benih dan tanaman sudah mula ditebar dan ditanam.
Kemuncaknya adalah berdirinya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 6 Ogos tahun 1971, pelopornya adalah Anwar Ibrahim (kini Dato’ Sri), Ustaz Razali Nawawi, Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Siddiq Fadzil, Dato’ Fauzi Abdul Rahman, Sanusi Junid (kini Tan Sri), Ustaz Nakhaie Ahmad dan ramai lagi. Walaupun pertubuhan ini agak lama baru disahkan pendaftarannya oleh Pejabat Pendaftaran, gerakan itu sudah bermula dengan halaqah-usrah dan tamrinnya, dan taddabur al-Quran serta membicarakan buku-buku baik dari Mesir/Timur Tengah, Pakistan, Indonesia. ABIM mula mengasah ahlinya dengan menampilkan hujah dan idea, dalam mendepani masyarakat, bagaimana membantu penyelesaiannya dengan gerakan dakwah dari bandar ke kampung serta kemana sahaja jika ruang dan peluang itu ada.