~~“Walaupun Puyuh Mencuri Sayap Helang, DiaTetap tak Bisa Terbang”~~

Waktu Solat

Seri Iskandar, Parit, Beruas, Kg Gajah
[ e-Solat]
 
 Imsak
5:41
 
 Subuh
5:51
 
 Syuruk
7:04
 
Zohor
13:13
 
Asar
16:18
 
Maghrib
19:15
 
Isyak
20:24

Friday, March 25, 2011

Inikah Politik Malaysia???

Kemunculan satu rakaman aksi seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin pembangkang mencetuskan pelbagai reaksi daripada kelompok politik negara.

Pendedahan rakaman seks terbaharu melibatkan ahli politik ini menambahkan lagi isu sensasi dalam politik negara, ketika topik liwat semakin terhakis nilai kejutannya ekoran terlalu banyak muncul di media dan kempen politik.


Reaksi awal banyak pihak memperlihatkan keadaan terkejut dan defensif, menafikan penglibatan seorang pemimpin pembangkang walaupun dipercayai belum menonton rakaman itu.


Tidak dapat tidak, pihak pemerintah terkait dengan pendedahan itu disebabkan bacaan politik semasa yang sedang bersedia menghadapi pilihanraya di Sarawak dan seluruh negara selepas itu.


Dalam suasana politik yang panas pada masa ini, tidak dapat dielakkan kemunculan rakaman itu dikaitkan dengan kepentingan pihak tertentu untuk mendapat faedah daripada kesan pendedahan itu.


Dari sudut jangka pendek, pihak yang menentang tokoh yang disasarkan oleh pendedahan rakaman itu berpotensi mendapat manfaat besar. Pihak lain, termasuk yang mempunyai hubungan dengan tokoh yang didakwa terlibat itu, boleh turut sama terpalit dengan kesan negatif.


Dalam perang persepsi yang ganas dan tidak beretika pada masa kini, setiap peluang digunakan sebaiknya oleh semua yang berkepentingan. Seperti yang pernah berlaku ekoran satu pendedahan daripada WikiLeaks sebelum ini, pengesahan fakta tidak lagi menjadi penting bagi pihak yang mahu mengeksploit, tetapi persepsi yang tercetus daripada pendedahan itu yang mahu dimanfaatkan.

Perbincangan mengenai isu terbabit akhirnya hanya menyentuh aspek sensasi dan menafikan penilaian kritikal terhadap hal yang mendasar. Kes-kes ini menunjukkan bagaimana dengan mudah politik menguasai sehingga persepsi menjadi perkara yang paling mahu dimanfaatkan selagi yang boleh.

Dalam kes pendedahan terbaharu ini, siapapun yang mendapat manfaatnya, dalam tempoh jangka panjang, politik negara bakal terkesan oleh permainan politik yang kotor dan tidak bertanggungjawab.


Pendedahan rakaman terbaharu ini menambahkan catatan buruk sejarah politik negara yang menyaksikan rakaman curi aksi seks menjadi berita utama politik. Perhatian ramai juga tertumpu pada hal sensasi itu, mengangkat topik seperti itu lebih tinggi dalam wacana politik tempatan dan menjadikan isu-isu yang lebih penting dan mendasar semakin terpinggir.


Isu-isu sensasi yang malangnya lebih mudah menarik perhatian khalayak semakin berpeluang mengambil bahagian terpenting dan terbesar dan perbincangan politik yang sepatutnya dijalankan berdasar isu-isu yang lebih mencerahkan.


Personaliti, skandal dan pelbagai isu sensasi rendah akhirnya menjadi tumpuan ramai, menenggelamkan lagi isu-isu seperti ideologi, program parti-parti politik dan sebagainya yang lebih memberi peluang untuk membuat penilaian yang bijak.


Isu skandal yang melibatkan moral bukanlah tidak penting kerana berkait dengan integriti tokoh-tokoh politik, tetapi sensasionalisme yang dicetuskan ini menjatuhkan wacana politik nasional ke satu tahap yang lebih rendah lagi.


Pemilihan jalan pendedahan skandal seperti yang berlaku hari ini juga mendedahkan kelemahan dalam politik negara, yang mendedahkan ketidakmampuan berdepan di medan demokrasi lalu mencari jalan lain untuk menjatuhkan lawan. Pendedahan rakaman seks hari ini telahpun mencetuskan perbincangan hangat di dunia siber dan dalam kalangan media dan politik.


Satu rasionaliti dan sikap kritikal perlu muncul dan ditunjukkan dalam medan politik negara hari ini, supaya kejadian sensasi ini tidak menjadi isu yang mendominasi politik negara, mengatasi pertimbangan-pertimbangan yang sepatutnya diutamakan dalam pembangunan negara kita.

2 komen:

anisyazila said...

paling saya dah bosan time tengok berita... banyak betul berita politik, skandal sana, propaganda sini...sangat bosan...

smtabi'in said...

macam la baru dok mesia.... ini kan musim pilihan raya....

Related Posts with Thumbnails